Monday, 16 April 2012

Pesan Ibu 0008 Muslim (Orang Islam) Yang Paling Baik

Abu Musa al-Asy’ari berkata,”Para sahabat bertanya kepada Rasulullah saw: 

 ‘Wahai Rasulullah, orang Islam manakah yang paling utama?’ 

Baginda menjawab 

“Orang yang tidak pernah menganggu orang Islam lainnya, sama ada dengan lisan (kata-kata) ataupun dengan tangan (tindakannya)” (Riwayat Bukhari).

Muslim (Orang Islam) ialah orang yang menyelamatkan muslim lain dari perbuatan dan kata-katanya… (Riwayat Ahmad dari Abu Hurairah) 

Muslim yang paling baik, tidak menyusahkan orang lain melalui tangannya iaitu tindakannya. Sebagai contoh, Dia tidak  meletakkan kenderaannya ikut suka hati sehingga boleh menggangu lalulintas. Dia tidak akan membunyikan hon keretanya dengan kuat sehingga menyebabkan orang lain terkejut. 

Muslim yang paling baik, tidak mencela muslim yang lain melalui lisannya. Dia tidak membuat fitnah kepada orang  sesama Islam. Muslim yang baik juga tidak berhasad dengki sesama orang Islam.

Islam melarang umatnya menggunakan mulut untuk mengumpat atau bercakap kotor dan menggunakan anggota badannya yang lain untuk menyakiti orang Islam yang lain. 

Berakhlaklah dengan mengikut akhlak Nabi iaitu akhlak AlQuran. Nabi mengamalkan setiap perkara dan akhlak baik  sebagaimana yang disebut dalam AlQuran. Akhlak Muslim yang mulia itu berat timbangannya. Amalan yang dilakukan beserta dengan akhlak yang baik, walaupun sedikit diberikan pahala dan ganjaran yang banyak.
Dari Abu Al-Darda’ r.a., bahawa Nabi s.a.w., bersabda“Tidak ada sesuatu pun yang ditimbang pada hari Kiamat yang lebih berat daripada akhlak dan budi pekerti yang baik. ” (Riwayat Abu Daud & Tirmizi).
Akhlak adalah sesuatu yang abstrak (tidak boleh dipegang), dan tidak boleh ditimbang secara zahirnya. Namun bagi Allah boleh menimbang perkara yang abstrak, misalnya amalan puasa dan sembahyang. Hanya Allah yang boleh menimbang dan menilai berat pahala amalan-amalan tersebut. 

Amalan yang banyak tetapi disertai dengan akhlak yang buruk pula mengurangkan pahala. 

Satu ketika Rasulullah SAW berkumpul bersama dengan para sahabat. Kemudian salah seorang sahabat berkata bahawa dia memiliki seorang jiran wanita yang sering berpuasa disiang hari dan di malam harinya bersembahyang tahajjud. Tetapi Rasulullah mengatakan bahawa wanita itu adalah ahli Neraka. 

Sahabat bertanya, mengapa demikian?

Jawab Baginda Rasulullah SAW, 

“Wanita itu selalu menyakiti jiran tetangga dengan lidahnya, tidak ada kebaikan lagi baginya dan dia adalah ahli Neraka.


Ehsan : Nasbun Nurain

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails